Masjid - jalan 14:20 Masjid Tun Abdul Aziz telah dibina pada bulan Mac 1973, 10 tahun selepas cadangan untuk membangunkannya disuarakan oleh ahli kariah dan penduduk seksyen 14. Masjid ini dibangunkan dengan usaha Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Penduduk-Penduduk Islam Petaling Jaya Utara (PKPIPJU) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Bakri bin Ramly.

Allahyarham Datuk Harun bin Idris, Menteri Besar Selangor ketika itu telah bersetuju dengan perancangan pembangunan masjid dan melantik John Ho, seorang arkitek dari Jabatan Kerja Raya untuk menyediakan reka bentuk yang unik dan menarik sebagai meraikan permintaan Ahli Jawatankuasa.

Kos pembinaan masjid adalah sebanyak RM790,000.00 dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Siap pada bulan September 1976, ia pertama kali digunakan oleh ahli kariah untuk menunaikan solat Eidul Fitri pada 25 September 1976 bersamaan 1 Syawal 1369.

Masjid bulat pertama di Malaysia ini dinamakan Masjid Tun Abdul Aziz sempena nama seorang tokoh yang telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 1954, berjasa kepada Negeri Selangor dan juga negara. Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj telah merasmikan masjid ini pada 25 Februari 1977.

Persempadanan kariah telah menetapkan ahli kariah masjid ini adalah dari Seksyen 14, 11 dan 12, Taman SEA, Taman Paramount, dan SS2. Bagaimanapun, masjid tetap meraikan jemaah lain yang terdiri dari para pelajar, wargakerja institusi pengajian tinggi tempatan dan swasta juga wargakerja dari sektor komersil berhampiran.

Masjid Tun Abdul Aziz adalah di antara masjid yang mempunyai pejabat pentadbiran sepenuh masa dan waktu berurusan adalah hari Isnin – Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang namun tidak terhad kepada hari dan waktu bekerja sahaja.

Masjid ini adalah masjid kariah. Kewujudan, pengurusan dan pentadbirannya adalah tanggungjawab dan amanah yang terletak di bahu Jawatankuasa Tadbir lantikan ahli kariah.